PKR hari ini mengumumkan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai pengarah pilihan raya parti bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menggantikan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, rombakan itu adalah sebahagian daripada penyelarasan strategik parti bagi melancarkan dan memperkukuh koordinasi proses kerja dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Dalam fasa seterusnya ini, Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan keupayaan jentera pilihan raya PKR serta aliran kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fuziah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang berlangsung semalam, antara lain bersetuju dengan beberapa lagi penyusunan strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam mesyuarat yang sama, beliau memberitahu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (war room).
Azman akan dibantu bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi.
“Ia bagi memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja pilihan raya,” katanya.
Menyentuh perubahan beberapa jawatan dalam PKR, Fuziah berkata, ia sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya parti terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.
“Penyusunan ini juga kesinambungan kepada asas gerak kerja dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang, serta peningkatan penggunaan data, sistem dan teknologi dalam operasi lapangan melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS,” katanya.
Mengulas lanjut keputusan itu, beliau memberitahu, penekanan dibuat adalah sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan PKR terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat.
Beliau mengakui PKR sedar akan kekuatan parti yang tidak hanya terletak pada pimpinan di peringkat Pusat, tetapi mencakupi ribuan ahli di lapangan yang terus bekerja, mendengar, menyantuni dan membawa suara rakyat setiap hari.
“Dalam semangat yang sama, PKR merakamkan penghargaan kepada semua anggota baharu yang telah menyertai parti, dengan jumlah keanggotaan baharu dari April ke Mei (lalu) mencecah seramai 5,936 orang.
“PKR kini bergerak ke fasa seterusnya dengan tekad untuk merapatkan saf parti, memperkukuh keupayaan akar umbi dan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang fokus, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang,” katanya.


