Kes guru cabul murid: KPM tidak kompromi, suspek direhatkan serta merta

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang guru ke atas murid perempuan tahun enam di sebuah sekolah di Johor sudah diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, sebagai tindakan segera, guru yang terbabit dalam siasatan itu sudah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dalam kes gangguan seksual.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu terbabit sudah ditahan oleh pihak berkuasa. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melindungi anak ini. KPM akan teruskan siasatan dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu pendedahan dalam media sosial berhubung kejadian gangguan seksual membabitkan seorang guru dan murid perempuan tahun enam di sebuah sekolah rendah di Masai.

Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam hantaran di Facebook mendakwa, guru besar sekolah membuat laporan polis sebanyak dua kali untuk menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.

Guru terbabit, dakwanya, sudah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan namun dibenarkan mengajar semula bermula sesi persekolahan tahun ini.

Dalam pada itu, Fadhlina meminta masyarakat di negara ini supaya tampil ke hadapan untuk melaporkan kes terkait dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa.

Beliau juga berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera menyiasat apabila aduan membabitkan mangsa kanak-kanak.

“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu di Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan bawah kelolaannya susulan isu yang tular dalam media sosial membabitkan seorang guru di negeri ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak jabatan memaklumkan, beberapa laporan polis sudah dibuat termasuk oleh pihak sekolah sehingga membawa kepada penahanan reman guru terbabit bagi membantu siasatan.

Jabatan berkenaan juga berharap polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh supaya tindakan undang-undang dapat diambil sekiranya individu terbabit didapati bersalah.

“Sepanjang proses siasatan, guru terbabit akan ditempatkan di PPD. Pada masa sama, JPN Johor turut bekerjasama dengan JKM bagi memastikan murid yang menjadi mangsa dilindungi dan kesejahteraannya terpelihara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam kes ini,” menurut kenyataan berkenaan sambil menasihatkan mereka yang berdepan kes seumpama itu laporan polis dan tidak menarik semula laporan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil pihak berkuasa.

Suspek dibawa ke mahkamah di Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img