KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan peruntukan awal RM100,000 untuk disalurkan segera bagi kerja pembersihan dan pemulihan kebakaran stor dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) semalam.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan perkara itu selepas meninjau lokasi kejadian semalam.
“Peruntukan itu turut membabitkan kerja awalan seperti penyambungan semula bekalan utiliti yang terjejas akibat kebakaran, pembaikan kecil di kawasan kebakaran dan bangunan berhampiran serta kerja berkaitan lain,” menurut kenyataan itu.
JPWP Putrajaya memaklumkan tindakan segera menutup kawasan terjejas serta kawasan berhampiran telah diambil bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah.
JPWP Putrajaya memaklumkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Dalam kejadian petang semalam, bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang berhubung kebakaran membabitkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas dewan itu.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian sesi persekolahan telah tamat.


