SEORANG pekerja kebun direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini bagi membantu siasatan kes rogol anak kandungnya sejak dua bulan lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini hingga Khamis depan.
Ia juga membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan termasuk merekod keterangan daripada mangsa dan suspek.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa memendam perasaan selama dua bulan atas perlakuan bapa kandungnya sebelum menceritakan kejadian itu kepada seorang rakan.
Menurut laporan itu, kejadian berlaku sekitar jam 6 hingga 7 malam di rumah suspek ketika ibu mangsa warga Vietnam keluar bekerja.
Mangsa mendakwa kali terakhir dia dirogol suspek adalah pada 9 Mei lalu.
Susulan itu, mangsa ditemani gurunya mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum doktor yang merawatnya membuat laporan polis.


