SEORANG buruh ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah cuba menyerang seorang penceramah dengan parang di sebuah masjid di Parit Sulong, dekat Batu Pahat pada Isnin lalu.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Hafiz Harun, 38, selepas mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan serta hujahan pemberatan pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan terhadap penceramah lelaki berusia 46 tahun di sebuah masjid di Parit Sulong.
Perbuatan itu dilakukan pada jam 8.20 malam, 18 Mei lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu yang juga ahli kariah lelaki berusia 34 tahun membuat laporan polis selepas mendapati tertuduh cuba menyerang penceramah di dalam masjid terbabit.
Pengadu memberitahu, ketika itu dia sedang mendengar ceramah sebelum terdengar bunyi bising dari luar masjid.
Pengadu melihat tertuduh dalam keadaan marah sambil membawa sebilah parang dan meluru ke arah penceramah sambil mengacu parang.
Bagaimanapun, penceramah bernasib baik kerana hayunan itu terkena pembesar suara. Disebabkan kejadian itu, penceramah beredar dari masjid kerana bimbang kejadian tidak diingini.
Berdasarkan rakaman video dari telefon bimbit pengadu menunjukkan perbuatan tertuduh menghampiri penceramah sebelum mengeluarkan kata-kata ugutan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


