KERAJAAN mengakui masih wujud jurang besar antara dasar ekonomi dan manfaat sebenar yang diterima rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI), hanya sekitar enam peratus peniaga kecil di negeri ini memanfaatkan skim pembiayaan mikro disediakan agensi kerajaan, meskipun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang pembiayaan mikro melibatkan peruntukan berbilion ringgit.
“Daripada laporan KRI bulan lalu, ia agak mengejutkan saya kerana walaupun kita menyediakan ratusan peluang untuk rakyat mendapatkan pembiayaan mikro, ternyata hanya sekitar enam peratus di Kuala Lumpur mendapat manfaat itu.
“Sudah tentu wujud disconnect antara dasar, pengumuman, peruntukan berjumlah RM6 bilion dan manfaat sebenar kepada peniaga kecil. Enam peratus itu terlalu rendah,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12: Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di ibu negara hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama agensi berkaitan seperti Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar dan TEKUN bagi meneliti semula keberkesanan pelaksanaan skim pembiayaan terbabit.
Malah, beliau turut dijadual turun padang ke Pasar Taman Melawati bagi mendapatkan maklum balas terus daripada peniaga kecil berhubung masalah mereka mendapatkan akses kepada kemudahan kredit.
“Saya mahu mereka turun bersama dan bertanya sendiri kepada peniaga, kenapa mereka tidak menggunakan kemudahan kredit yang disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, prestasi makroekonomi negara ketika ini menunjukkan perkembangan yang lebih meyakinkan berbanding unjuran awal.
Menurutnya, petunjuk ekonomi bagi suku terakhir tahun lalu dan suku pertama tahun ini membuktikan Malaysia mampu mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan konservatif sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak terjebak dengan “budaya complacency” atau terlalu selesa dengan pencapaian semasa sehingga mengabaikan cabaran sebenar dihadapi rakyat.
“Kadangkala kita merasakan kita sudah melakukan yang terbaik, lalu mengabaikan perkara lain. Itu bukan sikap yang bijak.
“Kita perlu terus melihat ancaman dan masalah dalam tempoh ketidaktentuan ini serta mencari jalan mengurangkannya secara berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menegur kecenderungan sesetengah pembuat dasar yang menurutnya terlalu bergantung kepada teori ekonomi tanpa memahami realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya selalu bersikap agak sinikal apabila mendengar ahli ekonomi dan pembuat dasar memberikan preskripsi mereka. Saya kata, cuba masuk kampung dan terangkan mengenai foreign exchange, tengok sama ada rakyat boleh faham atau tidak,” katanya.
Justeru, tegas beliau, kerajaan perlu terus mengimbangi pengurusan isu makroekonomi dengan usaha memastikan manfaat dasar dapat dirasai rakyat biasa.


