MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan perintah larangan akses terhadap aset bernilai RM548 juta didakwa dimiliki isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, anaknya serta tujuh pihak lain di beberapa buah akaun bank Singapura.
Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan selaku pemohon gagal memenuhi peruntukan Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Ambang pembuktian diperuntukkan di bawah Seksyen 53 AMLATFPUAA gagal dipenuhi, justeru permohonan itu ditolak,” katanya ketika menyampaikan keputusan, lapor BH.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat hadir bagi pihak pendakwaan manakala Na’imah, anaknya dan tujuh pihak itu diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Pada 19 Jun lalu, SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menghalang Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan £21 juta dan AS$99 juta di Singapura.
Permohonan difailkan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.


