Kaji semula hubungan dengan Bersatu: Pemuda Pas sokong ketegasan Abdul Hadi

DEWAN Pemuda Pas Pusat hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dibuat Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam untuk mengkaji semula hubungan dengan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ketegasan Abdul Hadi itu penting bagi memastikan agenda perjuangan PN terus diperkukuh dengan disiplin, kejelasan arah dan semangat kebersamaan yang tinggi.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memperkukuhkan peranan PN sebagai semak imbang paling kuat terhadap kerajaan yang semakin gagal menangani pelbagai isu rakyat termasuk kos sara hidup, tekanan ekonomi dan ketidakstabilan pentadbiran negara.

“Pemuda Pas berpandangan bahawa dalam membina sebuah kesefahaman politik yang kukuh dan berprinsip, setiap keputusan serta tindakan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar, iaitu berasaskan perbincangan bersama dan hala tuju kolektif antara semua parti komponen dalam PN.

“Kenyataan Presiden Pas yang menegaskan keperluan untuk mengkaji semula bentuk kerjasama dan hubungan politik dengan Bersatu merupakan satu pendirian yang wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan Dewan Pemuda Pas Pusat yang dimuat naik dalam Facebook hari ini.

Abdul Hadi semalam berkata, tindakan Bersatu yang menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem adalah sesuatu yang tidak menyenangkan.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Marang itu, Pas sedang mengkaji dan meneliti satu persatu percanggahan serta tindakan negatif yang dilakukan oleh rakan sekutunya itu.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, tumpuan seluruh pimpinan dan jentera parti seharusnya diberikan secara kolektif kepada usaha memperkukuhkan muafakat pembangkang serta menyusun strategi menghadapi cabaran politik mendatang, bukannya membuka ruang kepada polemik yang boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap PN.

“Pemuda Pas menyeru seluruh saf kepimpinan dan anak muda parti agar terus mendukung ketegasan serta kebijaksanaan Presiden parti dalam mengurus isu ini, di samping bersedia menerima sebarang keputusan lanjut hasil penelitian dan kajian yang akan diputuskan oleh parti demi maslahat perjuangan dan kestabilan gabungan,” jelas beliau.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar memberitahu, Pemuda Pas turut menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kebersamaan dalam PN serta menyokong segala usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara Pas dan Bersatu demi menghadapi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang bakal menjelang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img