`Orang politik tergelincir daripada perjuangan asal paling banyak mengeluh’ – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berpandangan ahli politik yang ‘tergelincir’ daripada landasan perjuangan asal adalah pihak yang paling banyak mengeluh, berbanding peniaga kecil di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau sebaliknya kagum dengan semangat peniaga kecil yang dilihat sangat tidak banyak mengeluh, sekali gus berbeza dengan mereka yang mengusahakan perniagaan besar atau ahli politik.

Beliau turut membuat perbandingan dengan ahli politik tertentu yang dilihat lebih banyak merengek dan berleter sepanjang masa.

“Sebenarnya peniaga kalau peringkat rendah ini keluhan dia sangat minimal…yang besar-besar itu yang banyak mengeluh dan yang mengeluh paling kuat orang-orang politik yang sudah tergelincir ini.

“Alhamdulillah tiada (peniaga kecil) yang maknanya hendak berleter dan asyik merengek sepanjang masa…itu hanya orang politik yang tertentu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya berhubung keluhan peniaga kecil yang didengarnya ketika membuat lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati di ibu negara hari ini.

Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung soalan berkaitan politik.

“Tak ada politik, tak ada hari ini, tiada politik. Politik makan nasi dagang,” katanya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, antara keluhan daripada peniaga yang diterima hanyalah berhubung kadar harga barang keperluan yang sedikit tinggi, namun dengan bantuan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), ia dapat dikurangkan untuk dimanfaatkan pembeli.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, beliau melihat ada sebilangan peniaga kecil yang tidak tahu berhubung manfaat pinjaman ditawarkan agensi kerajaan, walaupun kemudahan itu sangat meluas.

Atas dasar itu katanya, beliau turun padang bersama agensi berkaitan antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Agrobank, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Rakyat serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ke kawasan pasar.

Beliau menambah, langkah turun padang itu juga dilaksanakan selepas laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati bahawa kemudahan pinjaman adalah meluas di negara ini tetapi ia tidak diketahui atau dimanfaatkan golongan sasar.

“Justeru dua minggu yang lalu saya panggil semua agensi mikro-kredit ke pejabat dan bincang dengan agensi berkenaan dan putuskan kita turun..cuba kita turun dan beritahu manfaatnya dan jangan minta mereka datang ke pejabat.

“Jadi di sini umpamanya kita lihat di Taman Melawati, ratusan syarikat kecil yang memulakan perniagaan tapi kadangkala perlu RM10,000 atau RM20,000 pinjaman. Mereka beritahu kalau dapat pinjaman RM10,000 pun syukur tingginya.

“Saya juga tanya adakah masalah, ada tak pinjaman, boleh tak pergi buat pinjaman, ada tak bayaran balik,” katanya

Perdana Menteri berkata, keperluan golongan peniaga kecil ini perlu diberi perhatian kerana jumlah komuniti mereka adalah tinggi membabitkan ratusan ribu di negara ini.

Malah beliau berkata, peniaga kecil juga dilihat berdisiplin dalam menguruskan pembayaran semula pinjaman dan ia dibuktikan melalui kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) mereka yang sangat rendah.

“Kadar bayaran macam Amanah Ikhtiar itu, kalau wanita hampir 100 peratus, kalau lelaki 95 peratus, okeylah. Maknanya mereka bayar balik.

“Jadi masalah pinjaman ini mudah bagi kalangan pendapatan rendah ya. Kalau NPL untuk orang-orang kaya itu lain.

“Jadi sebab itu saya datang turun dan minta mereka sekali sekala turun dan beritahu kemudahan. Saya ucap terima kasih kepada agensi kerana mereka turun sendiri dengan pegawai mereka bagi penerangan untuk memudahkan pinjaman. Ini tujuan dia.

“Maknanya kita mesti turun, sampaikan peluang itu kepada rakyat dan mereka lihat sendiri. Ratusan diberi peluang untuk mendapat pinjaman dengan wang (kadar) perkhidmatan yang rendah sekitar empat peratus sahaja,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan media memaklumkan, lawatan berkenaan menandakan mukadimah kepada gerak kerja yang lebih menyeluruh oleh institusi kewangan dan agensi kerajaan untuk mendekati peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang terhimpit oleh kekangan modal.

MoF berkata, secara keseluruhan, lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan medium, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun ini.

Minggu lalu, Kerajaan MADANI mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro.

Kemudahan itu membabitkan pinjaman sehingga RM100,000, dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah empat peratus setahun.

MoF berkata, kemudahan pembiayaan mikro berkenaan adalah berasingan daripada kemudahan pembiayaan PMKS yang baharu diumumkan, khususnya RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia serta RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img