MENTERI Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah bersedia untuk mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya wujud usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang DUN yang dijadual berlangsung awal bulan depan.
Menurut beliau, tiada pilihan selain membubarkan DUN sekiranya berlaku cubaan untuk menjatuhkan kerajaan negeri.
“Kalau berlaku unsur-unsur untuk buat undi tidak percaya semasa sidang DUN nanti, kita bubar DUN… Apa masalah?.
“Kalau keputusan undi tidak percaya berlaku dalam sidang DUN kali ini, saya akan bubarkan Dewan Undangan Negeri Perlis. Ini keputusan saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Malam Citrawarna Kuala Perlis 2026, di Kuala Perlis malam tadi.
Abu Bakar diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kemungkinan menilai semula kedudukan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Semalam Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas sedang meneliti tindakan susulan terhadap Bersatu sekiranya parti itu didakwa menjejaskan kestabilan PN menjelang PRU akan datang.
Sidang DUN Perlis sebelum ini turut ditangguhkan dan dikaitkan dengan perkembangan politik semasa negeri itu.
Abu Bakar dalam pada itu berkata, kerajaan PN di Perlis masih diteruskan seperti biasa ketika ini.
“Kita masih kekal dalam kerajaan PN, kita masih mengekalkan persaudaraan dalam PN.
“Kadang-kadang desas-desus atau pun pakatan dalam politik, kita tak boleh nak ambil kira… Perkembangan politik dari masa ke semasa akan berubah,” katanya.
Beliau pada masa yang sama berkata, pelantikannya sebagai Menteri Besar adalah atas mandat PN selepas berlaku peralihan kuasa pentadbiran negeri sebelum ini.
“Kita telah diamanahkan oleh Tuanku Raja Perlis untuk mempertahankan kerajaan PN dan pelantikan saya sebagai Menteri Besar juga atas kapasiti PN,” ujarnya.


