MB Perlis jawab, `terpaksa tembak kaki bagi elak mudarat, lembu tak mati’

MENTERI Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan, tindakannya melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban yang tular dalam media sosial terpaksa diambil bagi mengelakkan haiwan yang sedang mengamuk itu mendatangkan kecederaan kepada petugas.

Beliau berkata, tembakan itu hanya dilepaskan ke arah kaki lembu berkenaan yang terlucut ikatannya sebelum penyembelihan dilakukan seperti biasa.

“Kita buat program korban membabitkan 25 ekor lembu. Hanya seekor yang talinya terlepas, lari dan mengamuk, jadi kita terpaksa bertindak (menembak) bagi mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang awam.

“Lembu yang kita tembak itu tidak mati, tembakan dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa. Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih,” katanya kepada media hari ini.

Abu Bakar tampil memberi penjelasan berhubung insiden ketika Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis itu bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan orang ramai.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, tindakan pantas itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini memandangkan terdapat kes amukan haiwan korban yang meragut nyawa di negeri lain.

“Saya tembak bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang berlaku di beberapa lokasi lain di seluruh negara sehingga ada kes yang mengorbankan nyawa akibat ditanduk lembu,” katanya.

Terdahulu, kejadian haiwan korban mengamuk ketika proses penyembelihan hangat dilaporkan media termasuk insiden di Ulu Tiram, Johor kelmarin yang mengakibatkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kejadian berasingan membabitkan amukan kerbau.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa pertama meninggal dunia akibat ditanduk pada bahagian paha, manakala mangsa kedua mengalami patah tulang rusuk.

Sementara itu, polis mengesahkan belum menerima laporan berhubung penularan video memaparkan Abu Bakar didakwa menembak lembu korban berkenaan menggunakan senapang patah, namun siasatan awal sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata, polis sudah mengambil maklum mengenai rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam itu.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img