Kerajaan turun padang beri perhatian kepada peniaga kecil – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui golongan peniaga kecil di seluruh negara perlu diberi perhatian kerana mereka adalah kelompok besar yang menjadi penggerak ekonomi rakyat.

Namun, Perdana Menteri berkata, golongan itu tidak mempunyai wakil atau jurucakap untuk membawa suara mereka bagi memohon bantuan.

Justeru, kerajaan mengambil pendekatan turun padang bagi memastikan kemudahan pinjaman mikro sampai kepada kumpulan sasar.

Menurut Anwar, laporan Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan banyak kemudahan pinjaman tersedia tetapi tidak diketahui serta tidak dimanfaatkan rakyat.

“Saya bincang dengan agensi pinjaman seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agrobank. Saya kata turun, jangan minta mereka datang ke pejabat. Cuba turun dan beritahu kemudahan yang ada,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Skim Khas Usahawan Tani Agrobank x FAMA di Taman Melawati di ibu negara hari ini.

Anwar berkata, hasil lawatan ke ratusan syarikat kecil mendapati ramai usahawan hanya memerlukan pinjaman kecil sekitar RM10,000 hingga RM20,000 untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Katanya, kadar bayaran balik pinjaman juga menunjukkan rekod baik, khususnya dalam kalangan wanita yang hampir mencecah 100 peratus, manakala lelaki sekitar 95 peratus.

“Maknanya mereka bayar balik. Jadi masalah pinjaman ini mudah bagi kalangan pendapatan rendah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan menghargai usaha agensi berkaitan yang turun padang memberi penerangan secara langsung kepada rakyat bagi memudahkan urusan pinjaman mikro.

“Tujuannya mesti turun, sampaikan peluang itu kepada rakyat. Ratusan diberi peluang mendapat pinjaman dengan wang perkhidmatan rendah,” katanya.

Menurutnya, peniaga kecil jarang merungut walaupun berdepan cabaran kenaikan harga barang keperluan.

“Sebenarnya peniaga kecil ini keluhan dia sangat minimal. Yang besar-besar banyak mengeluh dan yang mengeluh paling kuat orang politik tertentu,” katanya secara berseloroh.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 usahawan mikro.

Kemudahan itu melibatkan pinjaman sehingga RM100,000, dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah 4 peratus setahun.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img