Kanada, Hungary antara lima negara bakal sertai MAHA 2026

SEBANYAK lima negara bakal menyertai acara dwitahunan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung mulai 28 Ogos hingga 6 September depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Ketua Sekretariat MAHA 2026, Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata, penyertaan antarabangsa itu bakal membawa teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian dan membuka peluang padanan perniagaan antara pemain industri tempatan dan luar negara.

“Setakat ini kita sudah dapat pengesahan daripada lima hingga enam negara antaranya Kanada dan Hungary dan juga beberapa negara lain di Eropah.

“Selain teknologi baharu, produk hiliran pertanian akan diperkenalkan kepada pempamer luar sesi padanan perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Road to MAHA 2026 Zon Selatan di pekarangan MYDIN Hypermarket Mall, Bandar Jasin Bestari di Jasin hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Yuhaizad Abdullah mewakili Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohd Haniff yang juga Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani KPKM berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung sepanjang penganjuran MAHA 2026 selain nilai memorandum persefahaman (MoU) sebanyak RM8 bilion.

Katanya, penganjur juga menjangkakan urus niaga bernilai kira-kira RM58 juta dapat direkodkan selain penyertaan sekitar 2,000 pempamer melalui reruai yang disediakan sepanjang program.

“Selain itu, kita juga menyasarkan pembabitan kira-kira 800,000 belia untuk menceburi bidang pertanian melalui pelbagai program dan pendedahan teknologi moden menerusi MAHA 2026,” katanya.

Sementara itu, Yuhaizad berkata, pelancaran Road to MAHA Zon Selatan adalah siri jelajah promosi MAHA ke seluruh negara bagi mendekatkan acara itu kepada rakyat khususnya komuniti peladang, usahawan agro dan golongan belia.

Katanya, acara itu menghimpunkan antara 30 hingga 35 usahawan industri asas tani di bawah jabatan dan agensi KPKM, lapan usahawan program jualan agro-MADANI serta 11 penyertaan pameran.

“Kita menyasarkan program ini akan menarik 5,000 hingga 7,000 pengunjung dari seluruh negeri Melaka dan utara Johor menerusi pelbagai pengisian menarik berteraskan inovasi, teknologi dan pembangunan agro-makanan.

“Antara tarikan utama adalah demonstrasi berasaskan nanas seperti penghasilan kertas dan benang daripada nanas yang juga inovasi baharu dalam industri agro.

“Program juga diserikan dengan demonstrasi pembuatan baja dan bio-repellant, kempen galakan makan buah-buahan tempatan, taklimat ancaman ikan asing serta demonstrasi masakan berasaskan ikan laut,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti interaktif seperti Pertandingan Pineapple Giant Puzzle, Pertandingan Dam Ular, Kahoot Game, pertandingan mewarna serta program khidmat masyarakat turut diadakan bagi menarik penyertaan generasi muda dan komuniti setempat.

“Turut diadakan Forum Bicara Agro yang memfokuskan kepada peluang pasaran, teknologi pertanian serta potensi eksport produk pertanian negara.

“Selain itu, sesi Success Story Usahawan dan paparan video kejayaan program inisiatif KPKM diharap mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan muda untuk menceburi sektor agromakanan,” katanya.

Terdahulu, pada program itu, Yuhaizad turut melancarkan lagu tema MAHA 2026 secara maya yang dinyanyikan penyanyi terkenal, Faizal Tahir.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img