GSF 2.0 : ‘Kami jadi saksi kekejaman rejim Israel terhadap aktivis tidak bersenjata’

DELEGASI Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 menyifatkan misi kemanusiaan ke Gaza meninggalkan kesan emosi mendalam selepas mereka dipintas dua kali oleh rejim Israel ketika cuba menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

Petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Jihan Alya Mohd Nordin berkata, delegasi berkenaan mula dipintas di Greece sebelum sekali lagi ditahan di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan menuju Gaza.

Menurutnya, pengalaman menyertai GSF 2.0 amat bermakna dan tidak dapat dilupakan walaupun mereka berdepan detik mencemaskan membabitkan layanan kasar terhadap aktivis tidak bersenjata.

“Kami menjadi saksi sendiri kekejaman tentera Israel terhadap aktivis yang tidak bersenjata dan kami dilayan dengan sangat brutal ketika dipintas.

“Namun apa yang kami alami ini tidak dapat dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin yang sudah bertahun-tahun menanggung kesengsaraan dan kekejaman jauh lebih dahsyat,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Menurut Jihan, pengalaman itu menguatkan lagi semangatnya untuk terus memperjuangkan isu Palestin selain menyeru solidariti masyarakat antarabangsa bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Gaza.

“Kita semua perlu memainkan peranan dan berdiri bersama untuk membantu membebaskan Palestin,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan kemanusiaan Malaysia termasuk Cinta Gaza Malaysia, Cinta Syria Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), selain kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan diberikan sepanjang misi berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi aktivis, S. Patmanathan atau dikenali sebagai Kapten Siva berkata, beliau akan terus menyertai misi kemanusiaan berkaitan Gaza pada masa depan.

Katanya, beliau sangat tersentuh dengan sokongan rakyat Malaysia termasuk kata-kata anaknya yang berusia 10 tahun.

“Anak saya berkata, ‘Papa, saya bangga papa pergi ke Gaza. Kalau papa tidak balik pun tidak mengapa. Selepas 10 tahun saya pula akan sertai Sumud Nusantara’.

“Saya tidak akan berhenti daripada kerja kemanusiaan ini dan berharap dapat terus terlibat dalam misi akan datang,” katanya.

Menurutnya, apa yang disaksikan mereka sepanjang misi itu masih kecil berbanding penderitaan sebenar yang dialami rakyat Palestin setiap hari.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img