Paru-paru bocor diserang rejim Israel, Razman masih dirawat di Turkiye

DELEGASI Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Razman Mat Ali dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk paru-paru kiri bocor akibat didakwa diserang secara fizikal oleh tentera rejim Israel ketika ditahan dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Razman kini masih menerima rawatan di Istanbul, Turkiye selepas selesai menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, doktor tidak membenarkan Razman pulang ke Malaysia buat masa ini kerana bimbang tekanan udara dalam penerbangan boleh memburukkan kecederaannya sehingga mengancam nyawa.

“Razman mengalami kecederaan serius iaitu traumatic pneumothorax (paru-paru kirinya bocor) akibat diserang secara sengaja oleh tentera penjajah rejim semasa diculik secara haram.

“Beliau kini masih berada di Istanbul dan telah sempurna menjalani pembedahan. Beiau sedang berada dalam keadaan yang stabil dan dijangka dibenarkan pulang dan terbang ke Malaysia dalam tempoh 21 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan 28 delegasi GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Mengulas keadaan semangat Razman selepas insiden itu, Sani Araby berkata delegasi berkenaan tetap menunjukkan ketabahan luar biasa walaupun berdepan penderaan fizikal ketika ditahan.

“Sejujurnya kami sempat melawat beliau, namun keadaan kesihatannya ketika itu mudah mendapat jangkitan kerana baru selesai menjalani pembedahan.

“Pasukan peguam dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) juga dihantar untuk mengambil rakaman serta bukti kecederaan yang dialami beliau.

“Kalau ditanya kepada saya sebagai rakyat Malaysia, saya sangat kagum dengan kekuatan beliau. Kalau disebut semangat ‘sumud’, beliau masih sangat kuat,” katanya.

Menurutnya, Razman bukan satu-satunya aktivis yang didakwa menerima layanan kasar sepanjang ditahan, malah hampir semua delegasi mengalami penderaan fizikal.

“Apa yang berlaku kepada Kapten Razman bukan kes terpencil. Semua yang berada dalam flotila itu menerima physical abuse yang sama, cuma beliau mengalami kecederaan paling serius,” katanya.

Terdahulu, Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum kapal mereka dipintas pihak Israel di perairan antarabangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img