PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi hari ini sah bergelar suami kepada pasangan pilihan hatinya, Nurul Aliah Natasha dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah lokasi di Johor Bahru.
Majlis akad nikah itu dihadiri ahli keluarga kedua-dua belah pengantin serta kenalan rapat dalam suasana sederhana namun meriah.
Momen indah tersebut dikongsikan menerusi video dimuat naik sebuah stesen radio di aplikasi TikTok yang memaparkan Arif Aiman tenang melafazkan akad nikah sambil ditemani bapanya di sisi.
Selepas selesai majlis akad nikah, pasangan mempelai yang sama cantik sama padan itu diraikan di pelamin bagi sesi fotografi bersama para tetamu yang hadir.
Ruangan komen media sosial pula dibanjiri ucapan tahniah daripada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin baharu itu.
Arif Aiman, 24, menamatkan zaman bujang bersama Nurul Aliah Natasha yang merupakan seorang usahawan muda.
Majlis persandingan dijadual berlangsung pada sebelah malam dan dijangka diserikan dengan keberangkatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab bola sepak JDT.
Sejak Sabtu lalu, tular sekeping kad jemputan perkahwinan pemain sayap kebangsaan itu seterusnya menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan.
Lebih manis, majlis pernikahan Arif Aiman dan pasangannya itu dua hari selepas JDT menutup tirai mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia kali keempat berturut-turut menewaskan Kuching City FC 2-0 Sabtu lalu di mana Arif Aiman menjaringkan gol kedua pasukannya.


