HASIL titik peluh dan simpanan seorang pemandu bas wanita berjumlah lebih RM500,000 hilang begitu sahaja selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham atas talian.
Mangsa yang berusia 48 tahun kerugian sebanyak RM537,201 kerana terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan keuntungan berganda menerusi aplikasi Facebook itu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat wanita tempatan itu kelmarin.
Beliau berkata, kejadian bermula Mac lalu apabila mangsa terbaca iklan pelaburan saham di Facebook dan berminat sebelum menekan pautan yang diberikan.
“Mangsa dijanjikan keuntungan yang tinggi dalam tempoh yang singkat. Mangsa kemudian telah melakukan 12 transaksi ke dalam dua akaun bank berbeza bermula 5 Mac hingga 8 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM537,201.
“Mangsa telah diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburan namun dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dalam pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, mangsa kemudian menyedari dirinya telah ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburannya gagal.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
“Siasatan juga akan meliputi pembabitan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun itu,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan wang tinggi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya seperti menyemak kesahihan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysa untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan atas talian.
Mohd Sohaimi berkata, orang ramai perlu mengelak daripada memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali dan jangan terpedaya dengan janji keuntungan besar dalam tempoh singkat.
“Gunakan portal Semak Mule untuk menyemak akaun yang mencurigakan sebelum melakukan transaksi.
“Orang ramai juga diseru agar mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersial.
“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi ‘National Scam Response Centre’ (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” katanya.


