CADANGAN pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor swasta susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu wajar diberi perhatian memandangkan beberapa kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat sehingga menyebabkan penutupan sekolah.
“Untuk penjawat awam, memang waktu ini dasar bekerja dari rumah memang terpakai dan untuk sektor swasta, sewaktu mulanya perang di Asia Barat, sektor swasta telah digalakkan untuk turut mengadakan dasar bekerja dari rumah. Insya-Allah saya akan bangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan perkara ini, sama ada syarikat-syarikat swasta mampu untuk melaksanakan ataupun sekiranya mereka ada apa-apa kekangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menyifatkan keadaan jerebu ketika ini agak luar biasa berikutan fenomena Super El Nino yang menyebabkan kualiti udara berubah dalam tempoh singkat.
“Keadaan jerebu hari ini, pada saat ini, dan pagi esok mungkin sangat berbeza. Sebab itulah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan menguruskan penutupan sekolah berdasarkan data terkini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan diminta mendapatkan maklum balas syarikat swasta berhubung pelaksanaan dasar berkenaan.
Langkah itu bagi meneliti kemampuan syarikat melaksanakan BDR, termasuk mengenal pasti sebarang kekangan yang mungkin dihadapi.





