SEORANG pendaki lelaki yang sesak nafas dan muntah darah ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih, Ipoh berjaya diselamatkan petang ini manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki wanita yang masih hilang diteruskan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mangsa lelaki dikenali sebagai Mohd Hanafi Neikmad, 41, berjaya dibawa turun menggunakan helikopter AgustaWestland (AW139) milik JBPM.

Menurut beliau, mangsa tiba di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor pada jam 3 petang sebelum diserahkan kepada pasukan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM Perak untuk dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.
“Alhamdulillah, dengan bantuan Bahagian Udara JBPM bersama pasukan penyelamat JBPM Perak, kita berjaya membawa turun Mohd Hanafi yang sebelum ini mengalami masalah pernafasan dan muntah darah.
“Tanpa bantuan pesawat, operasi ini mungkin lebih sukar kerana tempoh perjalanan untuk mendaki ke puncak Gunung Batu Putih mengambil masa kira-kira 12 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sayani, pesawat berkenaan membantu membawa anggota penyelamat ke lokasi mangsa selain melaksanakan proses mengangkat mangsa menggunakan kaedah winching.
Katanya, Mohd Hanafi diselamatkan kira-kira satu kilometer dari puncak Gunung Batu Putih yang berketinggian lebih 2,000 meter dari aras laut.
“Operasi di kawasan pergunungan ini banyak bergantung kepada faktor cuaca kerana keadaan awan tebal menyukarkan pesawat memasuki kawasan puncak.
“Bagaimanapun, atas pengalaman dan kepakaran juruterbang, pesawat berjaya memasuki lokasi dan membawa keluar mangsa sebelum kawasan itu diliputi awan sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Sayani berkata, operasi SAR bagi mengesan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, akan diteruskan menggunakan kaedah pencarian darat.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada malim gunung, kali terakhir wanita itu dilihat adalah pada jam 7.30 pagi semalam di puncak Gunung Batu Putih.
“Jaslinda dipercayai sempat tiba di puncak dan meninggalkan tanda di kawasan itu sebelum disyaki sesat ketika turun dari gunung.
“Pasukan penyelamat akan memulakan pencarian dari puncak Gunung Batu Putih berdasarkan lokasi terakhir mangsa dikenal pasti,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan pesawat selepas ini hanya bagi membawa anggota penyelamat ke lokasi pendakian, manakala operasi SAR seterusnya akan dijalankan sepenuhnya secara darat.


