Suami pendaki hilang di Gunung Batu Putih bimbang keselamatan isteri

SUAMI kepada wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di Tapah melahirkan kebimbangan keselamatan isterinya, Jaslinda Saludin, 49, walaupun wanita itu seorang pendaki yang cukup berpengalaman.

Suaminya, Haszman Othman, 61, berkata, Jaslinda sememangnya meminati aktiviti mencabar dan berpengalaman tidak kurang daripada 10 tahun dalam aktiviti mendaki gunung.

HASZMAN Othman

“Kalau mengikut rekod Jabatan Perhutanan, isteri saya akan mendaki gunung ini lagi pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Bomba di Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh hari ini.

Haszman berkata, isterinya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta telah bertolak dari kediaman mereka di Damansara, Selangor pada Jumaat lalu untuk menyertai pendakian berkenaan bersama dua rakannya.

“Dua rakan isteri saya telah selamat turun dan pulang ke rumah masing-masing. Saya sekarang tengah bimbang sebab isteri masih belum dijumpai dan operasi mencarinya masih giat dijalankan,” katanya.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Wanita itu dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung yang kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi semalam.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita terbabit akan diteruskan esok dengan penambahan anggota penyelamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seramai lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) yang kini berada di lokasi akan meneruskan pencarian seawal pagi.

Beliau berkata, operasi turut diperkuat dengan ketibaan pesawat AgustaWestland (AW139) dari Pangkalan Udara Bertam yang dijangka membawa tambahan antara 12 hingga 16 anggota penyelamat ke kawasan gunung.

“Pasukan penyelamat akan memberi fokus pencarian di sekitar Gunung Rayu berdasarkan maklumat dan kesan jejak kasut yang ditemui di kawasan dipercayai bukan laluan utama pendaki.

“Kita percaya mangsa mungkin tersasar daripada trek asal untuk keluar ke Kuala Woh dan berkemungkinan berada di sekitar Gunung Rayu atau Pos Musoh,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Menurut beliau, operasi SAR turut mendapat bantuan daripada Jabatan Perhutanan, malim gunung dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sabarodzi berkata, operasi pencarian di kawasan berkenaan berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor muka bumi yang curam serta masalah komunikasi antara pasukan di atas gunung dan di bawah.

“Gunung ini merupakan antara gunung G8 dan laluannya sangat mencabar serta bukan sesuai untuk pendaki baharu.”

“Selain itu, keadaan cuaca hujan lebat semalam menyebabkan laluan menjadi licin dan menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata, keadaan awan tebal di kawasan puncak turut mengehadkan pergerakan pesawat bagi membawa anggota dan melaksanakan tinjauan udara.

“Pesawat hanya boleh memasuki kawasan tertentu dalam tempoh masa terhad bergantung kepada keadaan cuaca dan penglihatan juruterbang,” katanya.

Menurut beliau, operasi pencarian dihentikan pada jam 6 petang tadi, namun lapan anggota penyelamat masih berada di atas gunung dan bermalam di lokasi sebelum menyambung semula pencarian esok.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img