PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) menemukan beberapa petunjuk baharu seperti botol air, bungkusan makanan ringan dan tapak kaki dalam usaha mengesan pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih di Tapah sejak 23 Mei lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, jejak itu ditemukan di laluan Kem Sukaneka menuju Gunung Rayu semalam oleh pasukan penyelamat JBPM.
“Info penemuan ini daripada pasukan penyelamat semalam, namun baru dapat dikongsikan hari ini selepas keluar (dari hutan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi SAR wanita berusia 49 tahun itu diteruskan pagi tadi dengan penghantaran lapan anggota baharu ke Bukit Berapit 2 menggunakan pesawat AW139 bermula jam 9.15 pagi bagi menggantikan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Katanya, lima anggota STORM dan MGP yang berada di Bukit Berapit 2, semalam berdepan kesukaran akibat hujan lebat dan angin kuat, namun semuanya selamat keluar ke Kuala Woh pada jam 4 pagi tadi.
“Tiga lagi anggota STORM keluar dari hutan pada 9.30 pagi menggunakan pesawat AW139 dan diturunkan di Pos Kawalan Hadapan (PKH).
“Secara keseluruhan seramai lapan anggota STORM dan satu anggota MGP daripada pasukan penyelamat pertama yang masuk ke Gunung Batu Putih pada 25 Mei sudah selamat keluar,” katanya.
Sabarodzi berkata, setakat jam 6 petang, pasukan SAR kedua yang memasuki kawasan operasi hari ini sudah tiba di Kem Sukaneka selepas berjalan menyusuri permatang gunung selama lima jam dan pencarian kini tertumpu di laluan menuju Kem Sekali berdasarkan maklumat semasa serta garis masa perjalanan mangsa.
Beliau turut memaklumkan pasukan penyelamat yang menangguhkan operasi jam 6 petang tadi akan bermalam di puncak gunung dan menyambung semula SAR pada jam 8 pagi esok.


