OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu, diteruskan pagi ini dengan penghantaran pasukan operasi baharu membabitkan lapan anggota.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan itu dihantar ke Bukit Berapit 2 pada jam 9.15 pagi tadi dengan menggunakan pesawat AW139.
“Keseluruhan lapan anggota STORM (Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia) dan seorang anggota MGP (Malim Gunung Perhutanan) daripada pasukan penyelamat pertama yang masuk ke Gunung Batu Putih pada 25 Mei lalu, telah selamat keluar pagi tadi setelah menghadapi hujan lebat serta angin kuat di Berapit 2 pada malam hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, fokus operasi masih di sekitar kawasan Gunung Raya berdasarkan penemuan petunjuk sebelum ini.
Semalam, penemuan botol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik pendaki terbabit menjadi petunjuk baharu dalam operasi SAR wanita berusia 49 tahun itu.
Ia dijumpai di laluan menuju Gunung Raya, iaitu lokasi mangsa dipercayai tersasar dari laluan asal pendakian.
Jaslinda sebelum ini dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Dia dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun, Jaslinda kemudian dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi Ahad lalu.


