Onn Hafiz dedah Istana Johor pernah nasihat beliau mohon maaf kepada Zahid

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan beliau pernah dinasihatkan Istana Johor untuk memohon maaf kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerana menggesa Ahmad Zahid berundur susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail menasihati secara peribadi bahawa kenyataannya itu keterlaluan dan langkah terbaik adalah untuk memperbaiki keadaan.

“Mereka beritahu saya tidak mengapa untuk memohon maaf dan pergi berjumpa Presiden saya. Kita ada sebuah negeri untuk ditadbir,” katanya dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap.

Onn Hafiz berkata, beliau kemudiannya menemui Ahmad Zahid dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.

“Saya memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung perasaan beliau. Alhamdulillah, saya rasa beliau memaafkan saya.

“Dari segi hubungan parti dan urusan pentadbiran, perkara itu kini dianggap selesai,” katanya.

Pengakuan terbuka itu muncul selepas pengacara bersama, Shahril Hamdan, membangkitkan hakikat bahawa Onn Hafiz adalah pemimpin UMNO pertama yang secara terbuka menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas PRU-15, namun tidak dikenakan tindakan disiplin, sedangkan Shahril sendiri digantung kerana kenyataan serupa.

“Awak yang pertama menyatakannya. Saya hanya yang kedua, tetapi saya pula yang digantung,” kata Shahril.

Onn Hafiz tidak mengelak daripada menjawab persoalan itu.

“Pada masa itu, saya menerima nasihat daripada Istana Johor. Dan saya juga banyak berdoa,” katanya sambil mencetuskan gelak tawa hos.

BN hanya memenangi 30 kerusi pada PRU-15, sekali gus mencetuskan desakan dalam parti supaya Ahmad Zahid mencontohi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN selepas kekalahan pada PRU-14.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img