Kerajaan sasar pengeluaran Biodiesel B15 mulai 1 Jun stabilkan harga diesel

PELAKSANAAN biodiesel berasaskan sawit dijangka bermula 1 Jun ini sebagai langkah strategik kerajaan untuk menstabilkan harga diesel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan itu melibatkan penyelarasan menyeluruh antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan rantaian pengeluaran serta pengedaran berjalan lancar.

“Keputusan biodiesel ini mesti dikeluarkan melalui 19 loji mulai 1 Jun ini juga bagi membantu menurunkan harga diesel,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pengeluaran biodiesel akan bermula daripada B15, meningkat kepada B20 dan seterusnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun mungkin meningkat hingga ke B50.

“Ini kita lakukan secara berperingkat bagi menentukan supaya harga minyak sawit mentah (CPO) tidak akan membebankan pengeluaran kepada biodiesel,” katanya.

Pada 19 April lalu, beliau dilaporkan berkata, sebanyak 19 loji biodiesel yang sedang beroperasi ketika ini mampu menghasilkan kira-kira 1.5 juta liter bahan api itu sebulan, sekali gus mampu menstabilkan harga diesel domestik.

Menurut beliau, kapasiti pengeluaran mencukupi untuk menampung keperluan tempatan dalam keadaan harga bahan api yang berdepan tekanan kenaikan di pasaran.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW menjangkakan penjimatan sekurang-kurangnya RM250 juta dalam bajet kementerian sebagai langkah penjimatan negara.

Katanya, langkah itu selaras pekeliling Kementerian Kewangan (MoF) yang mengarahkan semua kementerian mengoptimumkan perbelanjaan.

“Malah, sebelum arahan itu dikeluarkan, kita pun telah mengemukakan kepada MoF untuk kita mengurangkan program yang mempunyai kesan berbanding keutamaan seperti infrastruktur, bekalan air, elektrik dan juga keperluan untuk luar bandar.

“…dan untuk itu kita telah memutuskan sekurang-kurangnya sebanyak RM250 juta dapat dijimatkan dan perbelanjaan yang telah diperuntukkan kepada KKDW itu akan diserahkan semula kepada MoF,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img