DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan minyak negara khususnya diesel dijangka kekal stabil sehingga Ogos ini, meskipun ketegangan di Selat Hormuz menjejaskan rantaian bekalan global.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan setakat ini berjaya memastikan bekalan minyak mentah dan diesel mencukupi hasil hubungan baik Malaysia dengan Iran, termasuk kerjasama diplomatik yang membantu laluan kapal negara melalui Selat Hormuz.
Beliau turut menegaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan Iran bukan sahaja berlandaskan kemanusiaan dan solidariti terhadap serangan rejim Zionis Israel, malah memberi manfaat langsung kepada keselamatan bekalan tenaga negara.
“Petang ini pukul 6 petang, insya-Allah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian akan menghubungi saya melalui telefon.
“Hubungan baik ini membantu bekalan minyak mencukupi setakat ini. Kita kata sampai Julai, sampai Ogos, insya-Allah diesel cukup,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada masyarakat di Parlimen Permatang Pauh dan DUN Seberang Jaya, di Bukit Mertajam hari ini.
Anwar berkata, walaupun berlaku sedikit kenaikan harga barang akibat peningkatan kos insurans dan tambang kapal susulan konflik di Asia Barat, kerajaan tetap mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Setakat yang kita mampu, minyak RON95 kekal sehingga RM1.99. Malaysia antara negara yang berjaya menawarkan minyak pada kadar antara yang termurah di rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut meneruskan pelbagai bentuk bantuan subsidi diesel menerusi inisiatif Budi MADANI bagi membantu petani, nelayan, pengusaha traktor, bas sekolah serta sektor pengangkutan.
Pada majlis itu, sebanyak 260 ekor lembu korban disumbangkan oleh Perdana Menteri, membabitkan 155 ekor untuk Parlimen Permatang Pauh dan 105 ekor bagi DUN Seberang Jaya.


