MALAYSIA berada di landasan menjadi antara negara terawal di dunia melaksanakan sistem penjagaan kesihatan awam primer digital bersepadu sepenuhnya menjelang 2027 menerusi Inisiatif Ketersambungan Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan (FHCI).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif yang dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bertujuan mempercepat penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas, cekap dan saling terhubung di klinik serta hospital kerajaan seluruh negara.
Menurutnya, FHCI memanfaatkan infrastruktur digital negara yang dibangunkan menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memperkukuh sistem kesihatan awam termasuk di kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan.
“Menerusi inisiatif ini, fasiliti kesihatan dapat mengakses rekod pesakit dengan lebih cekap, mengurangkan kelewatan pentadbiran serta menyokong penyelarasan rawatan lebih baik antara klinik dan hospital.
“Langkah ini membantu meningkatkan pengalaman pesakit melalui tempoh menunggu lebih singkat, akses maklumat lebih pantas serta kesinambungan rawatan yang lebih lancar,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut MCMC, sistem penjagaan kesihatan digital itu kini dilaksanakan di 2,488 fasiliti penjagaan kesihatan primer dan 150 hospital kerajaan menerusi Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) serta ekosistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bersepadu.
Katanya, pelaksanaan EMR di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan sudah mula beroperasi, sekali gus menjadikan kedua-dua lokasi itu kawasan pertama di Malaysia mencapai perkhidmatan penjagaan kesihatan primer digital sepenuhnya.
“Sehingga kini, sebanyak 468 fasiliti penjagaan kesihatan primer sudah dilengkapi sistem EMR, meningkat empat kali ganda dalam tempoh kurang tiga tahun.
“Hasil awal pelaksanaan juga menunjukkan 81 peratus pesakit menerima rawatan dalam tempoh kurang satu jam selain sistem itu menyokong lebih 75,000 transaksi pesakit setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, asas ketersambungan digital yang dibangunkan di seluruh negara kini membolehkan penyampaian perkhidmatan kesihatan lebih cekap dan terhubung kepada rakyat.
“MCMC telah menjadi pemacu utama usaha memperluas ketersambungan menyeluruh di seluruh negara berlandaskan satu prinsip yang jelas, ‘Di mana ada jalan, di situ ada internet’.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Mahathar pula berkata, negara sedang bergerak ke arah konsep ‘satu individu, satu rekod’ bagi membolehkan maklumat pesakit dikongsi secara selamat dan masa nyata merentasi sistem kesihatan.
“Ini akan membantu mengurangkan masa menunggu, menyokong keputusan klinikal yang lebih pantas serta memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih lancar merentasi klinik dan hospital di seluruh negara,” ujarnya.


