SEORANG pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menculik kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Rafiqzam Hafeq Mohd Rosly, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menculik kanak-kanak terbabit di Jalan Ilmu berhampiran sebuah kolej di sini hingga ke sebuah stesen minyak di Bukit Damansara antara jam 2.30 petang hingga 4.49 petang pada 19 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam P Suthes.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu atau mendekati mangsa serta keluarganya sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Julai depan.


