BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 493 kilogram minyak masak bersubsidi selepas menahan seorang lelaki di Kampung Binjal di Pasir Mas, petang semalam.
Serbuan jam 3 petang itu dilakukan anggota dan pegawai Batalion 7 hasil risikan dan maklumat awam berkaitan kegiatan penyeludupan minyak masak.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah premis.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan 20 kotak mengandungi 493 peket minyak masak bersubsidi dan suspek yang berada dalam kenderaan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen.
Katanya, suspek lelaki yang ditahan berusia 33 tahun mendakwa bekalan terbabit dibeli melalui kedai pemborong di Pasir Mas dan Kota Bharu untuk dijual di kedai runcit milik majikannya di Lemal, Pasir Mas.
“Suspek bekerja sebagai pembantu kedai dengan majikannya yang bergelar Ustaz hampir satu bulan.
“Minyak masak yang dijumpai di dalam kenderaan itu dikatakan ditinggalkan oleh majikannya di tempat yang tiada permit sah untuk penyimpanan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan adalah lebih RM31,000.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barangan kes yang dirampas diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas.
“PGA akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada aktiviti atau kegiatan menyalahi undang-undang berlaku,” katanya.


