BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah 8,000 biji pil yaba bernilai RM80,000 yang ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit, Kampung Kubang Gadong di Pasir Mas, petang semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, anggota pasukan yang bertugas pada awalnya membuat tinjauan Op Taring Wawasan Kelantan, susulan aktiviti penyeludupan migran di lokasi berkenaan.

“Ketika melakukan tinjauan, anggota menemukan beg silang jeans berwarna biru yang mencurigakan di atas tanah sebelum membuat pemerhatian selama 30 minit, namun tiada individu yang tampil menuntut beg berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam beg mendapati terdapat dadah jenis pil kuda dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kesemua dadah dirampas untuk diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, PGA akan terus menjalankan operasi dan pemantauan bagi mengekang jenayah rentas sempadan di Malaysia-Thailand selain berharap orang ramai dapat turut memberi kerjasama baik bagi melindungi sempadan negara.


