Inspektor dan isteri maut, 4 anak cedera nahas balik beraya

SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor bersama isterinya maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Paloh Hinai di Pekan awal pagi tadi.

Kemalangan berlaku ketika pasangan itu bersama empat anak mereka dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, nahas kira-kira jam 3 pagi itu turut mengakibatkan empat anak mangsa dan pemandu serta penumpang sebuah lagi kereta terbabit mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa yang maut ialah Inspektor Syah Lokman Ludza Ramli, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan isterinya, Nurulfiza Ardiana Amba, 46.

Menurut beliau, ketika kejadian pasangan itu bersama kesemua anak mereka dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Jempol, Negeri Sembilan.

“Sebuah lagi kereta terbabit pula dinaiki sepasang suami isteri yang dalam perjalanan dari Gelang Patah, Johor menghala ke Terengganu.

“Setiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu pegawai polis terbabit dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu bertembung kereta dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, empat anak pasangan itu yang cedera berusia antara 10 hingga 18 tahun, dan suami isteri berusia 26 tahun yang menaiki sebuah lagi kereta terbabit.

“Kesemua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut. Isteri pemandu sebuah lagi kereta terbabit sedang dirawat di Zon Kecemasan hospital itu,” katanya.

Mayat pegawai polis dan isterinya pula dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut, katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img