BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan dakwaan Albert Tei terhadapnya sebagai tidak berasas dan mahu polis menyiasat ahli perniagaan itu kerana membuat laporan palsu.
Menurut Azam, beliau tidak pernah berurusan secara langsung dengan Albert dan mempersoalkan dakwaan ahli perniagaan itu bahawa dirinya diugut.
“Saya tidak tahu apa yang lelaki ini cuba katakan. Saya tidak pernah bercakap dengannya secara langsung. Saya juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam yang mewakili saya untuk berurusan dengannya secara langsung,” katanya, lapor NST.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar semalam dilaporkan berkata, polis akan memanggil Azam untuk membantu siasatan berhubung dakwaan Albert itu.
Albert sebelum ini mendakwa, Azam mengugutnya melalui seorang peguam berhubung pertikaian dan siasatan yang sedang berlangsung.
Sebaliknya, Azam mendakwa Albert ‘bermain’ dan menyebarkan maklumat palsu.
“Dia mengatakan peguam saya mengugutnya, tetapi ini sama sekali tidak benar,” kata Azam sambil menambah bahawa beliau mengalu-alukan siasatan terhadap perkara itu dan akan memberi kerjasama kepada polis.
Azam turut menggesa polis menyiasat Albert berhubung apa yang disifatkannya sebagai tuduhan palsu terhadap dirinya.


