Isu Penjara Taiping: Kerajaan teliti dapatan Suhakam, belum dibawa ke Kabinet

KERAJAAN akan meneliti dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu di Penjara Taiping sebelum mempertimbangkan sebarang tindakan lanjut.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu bagaimanapun belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.

Menurutnya, laporan tahunan Suhakam lazimnya akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat kerajaan.

“Perkara ini tidak dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sama ada minggu lalu ataupun minggu ini dan biasanya laporan Suhakam, laporan tahunan akan dibentangkan untuk dibahas di Parlimen.

“Kita akan teliti sama ada isu ini akan dibawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di ibu negara hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Penjara Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkaitan bagi meneliti laporan Suhakam berhubung insiden provokasi prospek yang berlaku di Penjara Taiping, tahun lalu.

Jabatan itu memaklumkan bahawa perkara berkenaan akan diteliti secara menyeluruh, terperinci dan berintegriti bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan diberikan perhatian sewajarnya.

Fahmi dalam pada itu berkata, sementara menunggu perkara itu diteliti di peringkat Kabinet, isu berkenaan juga boleh dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Penjara.

“Sementara itu boleh juga rujuk dengan pihak KDN ataupun Jabatan Penjara. Tapi di pihak kerajaan, semestinya kita prihatin tentang dapatan daripada pihak Suhakam. Insya-Allah kita akan teliti sebelum kita ambil apa-apa tindakan lanjut,” tambahnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img