BURIRAM United terus mengukuhkan pengaruh mereka di pentas Asia Tenggara apabila berjaya mempertahankan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) selepas menewaskan Selangor FC 2-1 pada aksi final kedua di Arena Chang sebentar tadi, sekali gus menang dengan agregat 3-1.
Kelebihan satu gol yang dibawa dari aksi pertama nyata memberi kelebihan buat kelab Thailand itu untuk mengawal permainan, meskipun Selangor tampil dengan aksi lebih agresif sejak wisel permulaan.

Pasukan pelawat hampir mengejutkan tuan rumah pada awal permainan menerusi Faisal Halim, namun percubaannya berjaya diselamatkan Neil Etheridge yang tampil cemerlang mengemudi benteng Buriram.
Kesungguhan Selangor akhirnya berhasil pada minit ke-18 apabila Syahir Bashah melepaskan rembatan jarak jauh yang gagal ditangkap kemas Etheridge sebelum bola melintasi garisan gol untuk menyamakan kedudukan agregat.
Namun, kegembiraan skuad Gergasi Merah hanya sementara apabila Buriram kembali bangkit menerusi jaringan Suphanat Mueanta pada minit ke-27 hasil gerakan kemas bersama Theerathon Bunmathan.
Selepas rehat, Buriram semakin selesa menguasai permainan dan berjaya menambah jaringan kedua menerusi voli menarik Theerathon yang terkena palang sebelum menerjah masuk ke gawang Selangor pada minit ke-54.
Selangor cuba mencari ruang untuk kembali memberi saingan, namun beberapa peluang terbaik gagal diterjemahkan kepada jaringan apabila Etheridge terus menjadi watak penting buat tuan rumah.
Antara peluang terbaik Selangor hadir menerusi tandukan Chrigor Moraes pada penghujung babak kedua, namun penjaga gol Filipina itu bertindak pantas menafikan cubaan tersebut.
Buriram hampir menamatkan aksi dengan jaringan ketiga menerusi Robert Zulj, tetapi gol berkenaan dibatalkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan kekasaran dalam gerakan sebelum jaringan dihasilkan.
Keputusan akhir 2-1 memastikan Buriram United mempertahankan gelaran ACC buat musim kedua berturut-turut, manakala skuad bimbingan Kim Pan Gon terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.


