PERKHIDMATAN LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan selepas sebuah trennya tergelincir akibat gangguan teknikal pada landasan di Stesen Chan Sow Lin pagi ini.
Rapid Rail berkata, tren yang tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan itu membawa 25 penumpang, dengan semuanya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Ini telah menyebabkan tren tersebut tidak dapat bergerak dan punca jadual perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling pada pagi ini terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan lanjut dan kerja pemulihan di lokasi.
Susulan itu, Rapid KL mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif untuk penumpang sampai ke destinasi masing-masing.
Tren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Pudu (Kekerapan 4 minit)
Tren perantara antara Cheras dan Bandar Tasik Selatan di platform 1 (Kekerapan 8 minit)
Tren perantara antara Ampang dan Pandan Jaya di platform 1 (Kekerapan 5 minit)
Tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Bandar Tasik Selatan (4 minit)
Katanya, bas perantara percuma antara Pudu ke Cheras dan Pandan Jaya turut disediakan.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang menuju ke pusat bandar menggunakan tren Laluan Putrajaya dengan membuat pertukaran di Stesen Sungai Besi.
“Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menasihatkan penumpang merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE untuk maklumat terkini,” katanya sambil mengesahkan gambar tular di media sosial berhubung insiden itu adalah sahih.


