‘’Beri jawapan dalam tiga  hingga empat hari, jika tidak ia akan menjadi pengakhiran menyedihkan’’ – Amaran Trump kepada Hamas.

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump malam ini memberi tempoh tiga hingga empat hari kepada Hamas untuk memberi maklum balas terhadap pelan damai yang mengandungi 20 perkara yang dikemukakan oleh beliau.

​Pelan tersebut antara lain menyeru gencatan senjata, pembebasan tebusan oleh Hamas dalam tempoh 72 jam, pelucutan senjata Hamas dan pengunduran berperingkat Israel dari Gaza, diikuti oleh sebuah pihak berkuasa peralihan pasca-perang yang diketuai oleh Trump sendiri.

​Kuasa-kuasa dunia, termasuk negara-negara Arab dan Islam, menyambut baik cadangan itu, tetapi Hamas masih belum memberi maklum balasnya.

​“Kita akan beri masa kira-kira tiga atau empat hari.  Kami hanya menunggu Hamas, dan Hamas sama ada akan menerimanya atau tidak. Dan jika tidak, ia akan menjadi pengakhiran yang sangat menyedihkan, ‘’ kata Trump, lapor Arab News.

​Trump mengumumkan perjanjian itu di Rumah Putih pada hari Isnin selepas bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

​Pada hari Selasa, sumber Palestin berkata, Hamas telah memulakan perundingan mengenai pelan itu “dalam kepimpinan politik dan ketenteraannya, baik di dalam Palestin mahupun di luar negara.”

​“Perbincangan mungkin mengambil masa beberapa hari kerana kerumitannya,” kata sumber itu.

​Qatar, yang menjadi tuan rumah kepada kepimpinan Hamas yang berada dalam buangan, berkata kumpulan itu telah berjanji untuk mengkaji cadangan itu “secara bertanggungjawab,” dan juga berkata ia akan mengadakan pertemuan dengan Hamas dan Turkiye .

​“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai maklum balas, tetapi kami benar-benar optimistik bahawa pelan ini, seperti yang kami katakan, adalah pelan yang komprehensif,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al-Ansari.

​Perjanjian itu menuntut agar militan Hamas melucutkan senjata sepenuhnya dan dikecualikan daripada peranan masa depan dalam kerajaan, tetapi mereka yang bersetuju dengan “kewujudan bersama secara aman” akan diberi pengampunan.

​Ia juga akan menyaksikan pengunduran berperingkat Israel dari Gaza, selepas hampir dua tahun perang yang dicetuskan oleh serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Sementara itu penduduk Gaza berasa skeptikal berhubung pelan damai berkenaan kerana dianggap tidak realistik.

“Ia digubal dengan syarat-syarat yang AS dan Israel tahu Hamas tidak akan pernah terima. Bagi kami, itu bermakna perang dan penderitaan akan berterusan,”  kata Ibrahim Joudeh, 39 tahun, pengatur cara komputer  yang berasal dari bandar Rafah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img