Lelaki ditahan cuba curi kabel KTMB

CUBAAN seorang lelaki untuk mencuri kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) gagal apabila ditahan anggota Polis Bantuan KTMB dalam rondaan pencegahan jenayah di sektor Padang Rengas–Kamunting, Taiping, awal pagi tadi.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, suspek diberkas di Kilometer 95.75 oleh anggota Polis Bantuan Cawangan Taiping yang sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) secara berkala di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi (hotspot) kegiatan kecurian kabel.

“Hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan serta rampasan kabel yang dipercayai milik Jabatan Semboyan KTMB.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu menyebabkan gangguan terhadap sistem semboyan dan operasi landasan di kawasan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Semboyan KTMB kemudian mengesahkan kira-kira 43 meter kabel sudah dipotong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KTMB, kecurian kabel itu bukan sahaja menyebabkan kerugian material, malah berpotensi menjejaskan keselamatan operasi tren serta kelancaran perkhidmatan rel kepada pengguna.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, KTMB dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang bentuk pencerobohan, vandalisme dan kecurian terhadap aset serta infrastruktur rel negara.

“Rondaan keselamatan akan terus dipertingkat melalui kerjasama bersepadu antara Polis Bantuan KTMB dan pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan operasi tren serta orang awam,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img