SEORANG wanita warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam atas pertuduhan mengabaikan dua anaknya sehingga mengakibatkan seorang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, wanita berusia 37 tahun yang juga ibu kepada dua kanak-kanak warga tempatan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, pertuduhan dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya.
“Mahkamah membenarkan suspek diikat jamin sebanyak RM8,000, namun wanita itu gagal membayar wang jaminan berkenaan.
“Suspek kini ditahan di penjara sehingga tarikh sebutan semula kes pada 22 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada 7 Jun lalu, dua beradik berkenaan dilaporkan terjatuh dari tingkat 12 sebuah blok pangsapuri di Tampoi sebelum ditemukan berhampiran kawasan kolam renang premis berkenaan.
Kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami, manakala abangnya mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan lanjut.






