Wartawan kekal benteng utama sampaikan maklumat sahih – Fahmi

WARTAWAN kekal sebagai benteng utama dalam menyampaikan maklumat sahih di sebalik cabaran lambakan berita palsu pada masa kini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) hari ini, wartawan perlu berdiri di barisan hadapan sebagai pelindung integriti maklumat ketika fitnah boleh tersebar dalam sekelip mata dan persepsi sering mengatasi realiti.

GAMBAR: Facebook Fahmi Fadzil

“Peranan wartawan tidak terbatas kepada mencatat peristiwa, tetapi menjadi suara penting yang menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Fahmi berkata, setiap berita perlu diteliti, disahkan dan diikuti dengan rasa tanggungjawab kerana kepercayaan masyarakat lahir daripada kejujuran serta konsistensi pengamal media.

“Apabila integriti dijadikan pegangan dan kebenaran menjadi keutamaan, wartawan terus berdiri sebagai benteng maklumat yang sahih kerana pada akhirnya, kewartawanan bukan hanya tentang menyampaikan berita tetapi tentang memelihara amanah dan mempertahankan kepercayaan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media yang terus berperanan sebagai penerang masyarakat melalui penyampaian berita berwibawa, berintegriti dan dipercayai.

Menurut pengurusan tertinggi KKR, kewartawanan beretika memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara.

“Penyampaian laporan yang adil serta berlandaskan fakta mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu semasa dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang matang serta berinformasi,” menurut kementerian itu menerusi hantaran di Facebook rasmi kementerian itu.

KKR turut berharap profesion kewartawanan terus diperkasakan sebagai tonggak pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sambutan HAWANA 2026 dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini yang mengangkat tema `Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ bagi memperkasakan peranan pengamal media dalam pembangunan negara.

Majlis kemuncak sambutan tahunan bagi menghargai jasa golongan pengamal media itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img