TINDAKAN seorang lelaki membawa sebilah kerambit dipercayai untuk mempertahankan diri memakan diri apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya di Chabang Empat Salam di Rantau Panjang, awal pagi tadi.
Suspek berusia 23 tahun yang menunggang motosikal itu ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 2.30 pagi ketika Op Taring Wawasan Kelantan dijalankan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA menahan lelaki terbabit untuk pemeriksaan selepas melalui sekatan jalan raya berkenaan.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, anggota menemui sebilah kerambit yang dibungkus dengan plastik lutsinar di dalam poket belakang kanan seluar jeans suspek.
“Suspek mengaku memiliki senjata itu dan mendakwa mendapatkannya daripada seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Za’ di Kampung Gual Bunut petang semalam,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyimpan kerambit berkenaan selepas mendakwa menerima ugutan bunuh susulan pertikaian berkaitan urusan jual beli motosikal.
“Dia mendakwa seorang lelaki mengugut mahu membunuhnya menyebabkan dia bimbang akan keselamatannya,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, anggota PGA turut merampas motosikal bernilai RM9,000 dan kerambit dianggarkan bernilai RM200.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” ujarnya.


