SEORANG pemandu ambulans swasta didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang sebelum ini dipercayai menjadi mangsa penderaan.
Tertuduh, Muhammad Iqbal Fitri Mazlan, 29, dihadapkan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan atas pertuduhan membunuh Mohamad Hayder Abdul Mukmin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Seberang Temerloh Indah 2A, Temerloh kira-kira jam 9 pagi pada 11 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, kes berkenaan disiasat sebagai kes penderaan kanak-kanak selepas mangsa berusia dua tahun empat bulan dibawa ke Hospital Temerloh dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 13 Mei lalu.
Bagaimanapun, siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.
Tertuduh yang juga teman lelaki ibu mangsa ditahan bersama wanita itu di Tanah Perkuburan Pengkalan Manggis, Temerloh pada 20 Mei lalu bagi membantu siasatan.


