Cinta toksik remaja: Teman lelaki ditahan, bagi kekasih hisap vape ‘mushroom’

POLIS menahan seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat yang disyaki membekalkan vape mengandungi dadah jenis ‘mushroom’ kepada teman wanitanya berusia 14 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja lelaki berusia 17 tahun itu ditahan semalam sebelum dibawa ke mahkamah dan direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, polis kini sedang mengesan sumber bekalan vape berkenaan yang dipercayai diperoleh suspek.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk dari manakah pelajar sekolah itu mendapatkan bekalan vape mushroom berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Malim hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa selain Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol.

Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun disyaki berada di bawah pengaruh vape jenis ‘mushroom’ bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya di sebuah rumah di Jonker Walk, Melaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.33 malam Ahad lalu, mangsa dipercayai bertindak demikian selepas berang dihalang ibu angkatnya berusia 49 tahun daripada bertemu teman lelaki.

Mangsa dikatakan masuk ke bilik tidur di tingkat satu rumah sebelum mencederakan diri menggunakan sebilah pisau.

Ibu angkat mangsa mendakwa remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan dipercayai di bawah pengaruh vape jenis ‘mushroom’ sebelum kejadian berlaku.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img