MBAS kompaun hotel susulan video tular isu kebersihan

MAJLIS Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan dua kompaun dan satu notis terhadap sebuah hotel di bandar ini susulan tular video di Facebook yang memaparkan ketidakpuasan hati seorang pengunjung terhadap tahap kebersihan premis berkenaan.

Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguatkuasaan serta Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan MBAS selepas pemeriksaan dijalankan di beberapa bilik termasuk bilik yang diadu.

MBAS dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan hotel terbabit secara keseluruhannya tidak memuaskan dan memerlukan tindakan penambahbaikan segera.

“Satu kompaun dikeluarkan terhadap pihak hotel atas kesalahan gagal menyelenggara premis dengan baik mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Hotel (MBAS) 2010 berkaitan aspek kebersihan.

“Satu lagi kompaun turut dikenakan di bawah Undang-Undang Mencegah Kekotoran (PBTNK) 1983 selepas pemeriksaan mendapati perangkap minyak di bahagian dapur rosak sehingga menyebabkan kekotoran sisa makanan,” menurut kenyataan itu.

Selain kompaun, MBAS turut mengeluarkan notis di bawah UUK Hotel (MBAS) 2010 yang memberi tempoh tujuh hari kepada pihak hotel untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan.

Menurut MBAS, pihak pengurusan hotel mengakui kelemahan yang berlaku selain menerima teguran serta memberi komitmen untuk melaksanakan kerja pembersihan dan penambahbaikan dengan segera.

Katanya, pemeriksaan susulan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan dijalankan bagi memastikan premis mematuhi standard kebersihan serta kehendak undang-undang yang ditetapkan.

“MBAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam memastikan aspek kebersihan sentiasa dipelihara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img