POLIS menjalankan siasatan awal berhubung video tular yang memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah didakwa menembak seekor lembu korban menggunakan senapang patah.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, walaupun belum menerima sebarang laporan rasmi, pihaknya sudah mengambil maklum mengenai rakaman video yang tersebar di media sosial sejak semalam.
“Insiden itu sudah berada dalam pengetahuan pihak polis.
“Setakat ini belum ada laporan polis diterima, namun siasatan awal sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti jenis senjata dan peluru yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Sama ada peluru yang digunakan itu adalah peluru hidup atau bukan, kita masih dalam siasatan.
“Kita akan panggil Menteri Besar untuk mendapatkan keterangan berkaitan isu ini,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang individu dipercayai Menteri Besar Perlis menggunakan selaras senapang patah untuk menembak seekor lembu bagi tujuan ibadah korban sempena Aidiladha.


