KEMENTERIAN Kewangan (MoF) memandang serius dakwaan penyalahgunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi subsidi diesel di bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95).
MoF dalam kenyataan menegaskan penggunaan atau pemilikan MyKad milik individu lain tanpa kuasa sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Menurut kementerian itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“MoF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MoF mengarahkan syarikat peruncit minyak memperketat pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.
Kementerian itu menegaskan sebarang urus niaga secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program.
“Semua syarikat peruncit minyak turut diarahkan menjalankan siasatan lanjut terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP selain mengambil tindakan sewajarnya terhadap stesen minyak terbabit serta memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak,” katanya.
MoF berkata, langkah pembetulan turut dilaksanakan termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran serta penyaluran pampasan bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan.
Pada masa sama, penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi masing-masing menerusi portal rasmi BUDI95 dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.
Katanya, penerima yang terkesan boleh membuat aduan kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI (BMCC) dalam tempoh 30 hari selepas kejadian dengan melampirkan laporan polis, salinan kad pengenalan serta senarai transaksi berkaitan.
“Aduan boleh dibuat kepada BMCC melalui talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595 atau e-mel ke tanya@budi95.gov.my dengan BMCC ini beroperasi 24 jam sehari sepanjang minggu,” ujarnya.


