SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang meneliti aduan berhubung proses penilaian dan kerja naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya kini meneliti maklumat serta dokumen berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
Menurut kenyataan itu, SPRM memandang serius sebarang dakwaan membabitkan unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan khususnya yang melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan.
“Isu ini dalam perhatian SPRM untuk siasatan lanjut dan pihak kami sedang meneliti maklumat serta dokumen berkaitan.
“Kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan amat dialu-alukan bagi memastikan proses penelitian dapat dijalankan secara menyeluruh dan profesional,” katanya.
SPRM turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya terus kepada suruhanjaya itu dan tidak mendedahkannya kepada pihak lain.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan kebocoran maklumat selain memastikan siasatan tidak terganggu.
Terdahulu, portal media tempatan melaporkan seorang kontraktor membuat laporan berkaitan isu projek naik taraf SNBJ bernilai RM24 juta yang dibangkitkan baru-baru ini.
Aduan berkenaan dikatakan tertumpu kepada dua tender persiapan Sukan SEA 2027 membabitkan pemasangan trek larian baharu serta sistem lantai pelindung untuk kegunaan konsert dan acara berskala besar.


