Pelan damai Trump-Netanyahu penuh tersirat, banyak muslihat

‘’Ada satu perkara  yang kami tegas bahawa kami menentang keras kewujudan Negara Palestin.Pelan damai Trump tidak menyentuh soal pendirian negara Palestin.

‘’Sekarang seluruh dunia, termasuk dunia Arab dan Islam, memberi tekanan kepada Hamas untuk menerima SYARAT YANG KAMI TETAPKAN bersama Presiden Trump untuk membebaskan semua sandera kami, baik yang masih hidup maupun yang sudah meninggal. Sementara IDF (tentera Israel) tetap berada di sebagian besar Jalur Gaza.

“Presiden Trump menegaskan jika Hamas menolak (pelan damai), ia akan memberikan sokongan  penuh kepada Israel untuk menyelesaikan operasi militer dan melenyapkan mereka (Hamas”.’’

 Itulah kenyataan angkuh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sehari selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza.

Keangkuhan yang ditonjolkan oleh Netanyahu itu dilakukan ketika beberapa negara Islam menyokong pelan damai tersebut dan sekaligus menimbulkan persoalan adakah ia bermaksud mereka bersetuju bahawa tiada pengiktirafan Negara Palestin dimasukkan di dalam pelan berkenaan? Dan adakah mereka benar-benar mengkaji segala implikasi pelan berkenaan khususnya melibat bumi Palestin?

Atau mungkinkah mereka ‘terkeliru’ dengan kenyataan Trump bahawa ;

 “Banyak negara sekutu dengan bodohnya mengakui negara Palestin, tetapi menurut saya, mereka melakukannya kerana mereka penat dengan apa yang terjadi”. Seiring dengan pembangunan kembali Gaza, dan apabila program reformasi PA (Pihak Berkuasa Palestin) dilaksanakan  dengan baik, ia akan membuka jalan  menuju penentuan nasib sendiri (oleh rakyat Palestin) dan kenegaraan Palestin, yang kami akui (itulah) impian rakyat Palestin.’’ katanya.

Bagaimanapun kalau dikaji secara teliti pelan damai 20 perkara itu, ia seolah-olah mengikut kehendak Netanyahu dan rejim Zionis serta mempunyai banyak kemusykilan. Mungkin atas sebab itulah Netanyahu terus angkuh mempertahankan pendiriannya menolak  Negara Palestin.

Pada masa sama permohonan maaf Netanyahu kepada Qatar dibuat kerana beliau mengetahui ia ibarat, ‘bagi secupak untung segantang’. Ia memandangkan dalam pelan damai itu Israel jauh lebih untung daripada rakyat Palestin.

Dalam Hamas yang selama ini mempertahankan kedaulatan Palestin dipaksa meletakkan senjata dan menutup semua operasinya secara total.  Israel pula yang merupakan tentera penjajah  diberi penghormatan bukan sahaja berundur ke garis yang dipersetujui sebagai persiapan pembebasan tebusan tetapi juga akan bersama-sama Pasukan Penstabilan Antarabangsa (IDF) yang akan ditubuhkan untuk mengamankan sempadan Gaza serta mencegah kemasukan senjata.

Perkara 1 pelan damai juga boleh dipersoalkan apabila menyatakan, ‘’Gaza akan dijadikan zon bebas keganasan dan tidak lagi menjadi ancaman kepada negara-negara jirannya.’’  Soalnya siapa sebenarnya yang mengancam?

Yang menceroboh Gaza adalah Israel, yang menyerang negara-negara jiran adalah Israel, oleh itu siapa yang menyebabkan Gaza menjadi zon ganas? Bagaimana pengganas seperti rejim Zionis akan diberi tugas menjaga keamanan dengan ISF selepas ini?

Perkara 7 pula mendedahkan bahawa selama ini Amerika Syarikat dan Israel sememangnya tidak mahu bantuan penuh dihantar ke Gaza segera sedangkan penduduk Palestin sudah kebuluran dan memerlukan lawatan. Ia jelas apabila Perkara 7 menyatakan,:

Sebaik sahaja perjanjian ini diterima, bantuan penuh akan segera dihantar ke Gaza. Minimum bantuan adalah sebagaimana perjanjian bantuan kemanusiaan bertarikh 19 Januari 2025, termasuk pemulihan infrastruktur (air, elektrik, sistem kumbahan), pemulihan hospital dan kedai roti, serta kemasukan peralatan untuk membersihkan runtuhan dan membuka jalan.’’

Persoalannya kenapa ia tidak dilakukan sekarang! Rakyat Palestin sedang kebuluran, operasi hospital di Gaza hampir lumpuh akibat kelengkapan musnah dalam serangan Israel. Kenapa mahu menunggu pelan damai ditandatangani baru kesemua bantuan penuh akan dibawa masuk ke Gaza?

Dalam perkara 8 menyatakan, ‘’Kemasukan dan pengedaran bantuan di Gaza akan berjalan tanpa campur tangan kedua-dua pihak melalui PBB, Bulan Sabit Merah, dan badan antarabangsa lain yang berkecuali. Penyeberangan Rafah akan dibuka dua hala dengan mekanisme yang sama seperti perjanjian 19 Januari 2025.’’

Jika AS yang mengarahkan bantuan dihantar manakala Israel memberi jaminan tidak akan menyerang penduduk beratur ketika mengambil bantuan, kenapa pengedaran bantuan itu tidak dilakukan sekarang? Bukankah AS boleh mengarahkan PBB dan Bulan Sabit melaksanakan operasi itu segera?

Satu lagi, bukan AS dan Israel adalah sekutu rapat Mesir, kenapa mereka tidak mengarahkan sempadan Rafah dibuka segera bagi membolehkan bantuan masuk ke Gaza?

Perkara 17 juga boleh dipersoalkan apabila menyatakan, ‘’ Israel tidak akan menduduki atau menceroboh Gaza. Apabila ISF berjaya mewujudkan kawalan dan kestabilan, tentera Israel akan berundur secara berperingkat berdasarkan standard, pencapaian, dan jadual yang dipersetujui bersama ISF, negara penjamin, dan Amerika Syarikat.’’

Apakah sekarang ini Israel tidak menduduki atau menceroboh Gaza? Kenapa AS tidak menyuruh Israel berundur segera dan menghentikan penjajahan di bandar itu secara berperingkat bagi membolehkan usaha memulihkan Gaza dilakukan?

Perkara 9 pula agak mengejutkan badan peralihan antarabangsa, ‘Dewan Perdamaian’ ditubuhkan dengan dipimpin oleh Trump serta pemimpin lain termasuklah Tony Blair. Pemilihan bekas Perdana Menteri Britain itu ‘ditolak mentah-mentah’ bukan sahaja oleh Hamas tetapi juga rakyat Palestin.

Ini disebabkan Blair merupakan sekutu kuat AS semasa kedua-dua negara itu terlibat dalam perang dengan Iraq dari tahun 2003 hingga 2011. Sebelum Trump membuat pengumuman rasmi mengenai penglibatan Blair, Hamas pada Ahad lalu sudah ‘menolak mentah-mentah’ cadangan tersebut.

Secara keseluruhannya pelan damai Trump mengandungi banyak perkara yang boleh disifatkan penuh tersirat dan muslihat. Justeru negara Islam tidak harus terburu-buru mempersetujui pelan damai itu. Tidak mengapakan kalau mahu ‘menyambut baik’ pelan berkenaan tetapi untuk menyokongnya perlu penelitian mendalam.

Ia supaya mereka tidak terperangkap dalam agenda yang diaturkan, diputuskan dan dilaksanakan oleh Trump dan Netanyahu. Percayalah Netanyahu tidak akan sewenang-wenangnya menyatakan persetujuan terhadap pelan itu jika beliau dan rejim zionis tidak mendapat apa-apa keuntungan khususnya untuk terus menjajah Palestin secara terhormat.

Persoalan paling besar…apakah dengan melaksanakan pelan damai Trump tersebut, Netanyahu yang bertanggungjawab menjajah dan mengarahkan tentera Zionis membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, menghancurkan bumi Gaza tidak akan lagi dianggap penjenayah perang sepertimana diisytiharkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Apakah selepas ini  jika pelan damai itu diterima dan dilaksanakan, ia akan menjadi ‘kes rujukan’ untuk AS dan Israel melakukan taktik yang sama di negara Islam lain pula? Penulis bertanya kerana sudah ada riak, Iran akan jadi sasaran seterusnya. Tunggu saja.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img