Malaysia-Timor-Leste teroka peluang kerjasama pelbagai bidang- PM

MALAYSIA dan Timor-Leste meneroka peluang untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan bagi menjana pertumbuhan mampan di kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan menerusi pertemuan dengan Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta hari ini bersempena dengan lawatan khas lima hari pemimpin negara itu ke Malaysia.

DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta di Putrajaya hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Anwar berkata, perbincangan itu turut menyentuh mengenai usaha memperkukuh pembangunan modal insan, pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, pelaburan strategik, pembangunan modal insan, pendidikan dan latihan teknikal,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia dan Timor-Leste turut meneroka peluang baharu yang mampu menjana pertumbuhan mampan serta membuka ruang kemajuan lebih luas kepada generasi muda kedua-dua negara.

“Sebagai negara jiran dan anggota keluarga besar ASEAN, Malaysia menyambut baik usaha mempererat hubungan serantau berasaskan semangat kebersamaan, saling menghormati serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” kata beliau.

Anwar berkata, Malaysia dan Timor-Leste komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

“Mudah-mudahan hubungan erat yang terjalin ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat Malaysia dan Timor-Leste, serta kemajuan ASEAN secara keseluruhannya,” kata beliau.

Ramos-Horta tiba di Malaysia pada 13 Jun lalu bagi lawatan khas selama lima hari ke negara ini.

Pada 2024, perdagangan Malaysia-Timor-Leste berjumlah AS$18.72 juta (RM85.68 juta) dengan eksport sebanyak AS$18.37 juta (RM84.06 juta) dan import AS$0.35 juta (RM1.62 juta).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img