Fahmi tegur KP J-Kom, berhati-hati dalam keluarkan kenyataan

MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menegur Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali supaya lebih berhati-hati memberikan kenyataan.

Menurut Fahmi, teguran itu bagi memastikan rakyat memahami apa yang cuba disampaikan, sekali gus mengelak ia mewujudkan ruang yang boleh dimanipulasi pihak yang sengaja mencari isu.

“Saya kata kepada beliau (Mohd Hisyamuddin), tenaga dan dinamisme yang ditunjukkan itu sangat baik tapi dalam masa sama perlu berhati-hati untuk pastikan rakyat faham apa yang kita cuba sampaikan.

“Jangan sampai wujud satu ruang sehingga dapat dimanipulasi oleh pihak yang memusuhi dan sengaja mencari isu,” katanya dalam sidang media majlis penyerahan watikah perlantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Fahmi berkata, mutu perkhidmatan Mohd Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz akan terus diteliti memandangkan baru minggu pertama penugasannya.

Katanya kepantasan Syam Ghaz yang melihat dan menangani sesuatu isu disifatkan perkara yang sangat ‘fresh‘ dan berbeza daripada pengurusan sebelum ini.

“Ini baru minggu pertama dan kita akan teliti mutu perkhidmatan beliau, saya tengok kepantasan beliau lihat isu dan menangani isu satu perkara yang sangat ‘fresh’.

“Caranya berbeza dari sebelum ini dan saya lihat ada peluang untuk kita terokai cara mengendali isu lebih tuntas,” katanya.

Semalam, timbalan Fahmi, Teo Nie Ching mengingatkan Mohd Hisyamuddin supaya tidak mengguna pakai bahasa tidak sopan selain mengelak isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Hisyamuddin yang dilantik menerajui J-Kom pada 8 Jun lalu berdepan kritikan ramai selepas satu hantaran pada Sabtu lalu yang disifatkan sebagai rasis.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img