BEKAS Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 32 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM156,336.
Tertuduh, Manain Mat Harun, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Dia didakwa menerima tanpa balasan bagi dirinya wang tunai terbabit daripada seorang individu melalui beberapa transaksi berasingan antara 2015 hingga 2020 di Kemaman.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap 20 hari bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diperintahkan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






