SEORANG pendaki yang terselamat, Mohd Hanafi Neikmad, 41, meminta orang ramai supaya tidak menuding jari khususnya terhadap malim gunung perhutanan (MGP) susulan kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin.
Mohd Hanafi dan Jaslinda merupakan antara 14 peserta bersama dua MGP yang memulakan pendakian Trans Spencer Chapman melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu.
Menurutnya, insiden tersebut bermula pada malam Sabtu ketika dia bersama Jaslinda dan seorang malim gunung yang bertindak sebagai sweeper dikenali sebagai Hafiz.
Ujar beliau, pada awalnya dia berada di bahagian tengah kumpulan pendaki sebelum berhenti berhampiran Kem Batu Kor selepas mengalami sesak dada dan muntah, selain lampu kepala miliknya kehabisan bateri ketika cuaca hujan.
Beliau berkata, 12 pendaki lain sudah berada jauh di hadapan, manakala dia, Jaslinda dan Hafiz menunggu sehingga pagi Ahad sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Batu Putih, iaitu puncak terakhir dalam ekspedisi tiga gunung itu.
“Kira-kira sejam selepas saya duduk berehat di tepi laluan, Hafiz datang bersama Jaslinda. Melihat keadaan saya, mereka membawa saya ke Kem Batu Kor untuk berehat semalaman.
“Jaslinda memaklumkan mahu meneruskan pendakian pada malam itu juga kerana menumpang kenderaan pendaki lain. Namun Hafiz menasihatkannya supaya tidak meneruskan perjalanan memandangkan hujan dan keadaan saya yang mengalami sakit dada serta muntah.
“Kami kemudian berehat di Kem Batu Kor sehingga keesokan pagi, tetapi Jaslinda menyatakan mahu bergerak lebih awal kerana bergantung kepada kenderaan orang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor NST.
Mohd Hanafi diselamatkan pada Isnin menerusi operasi pemindahan udara menggunakan helikopter AgustaWestland AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Susulan kejadian itu, beliau menerima rawatan di Hospital Tapah akibat hipotermia, komplikasi jantung dan tekanan darah rendah sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut sehingga Isnin.
Sementara itu, Jaslinda, 49, masih belum ditemukan sehingga kini.
Mengimbau semula kejadian pagi Ahad, Hanafi berkata, Jaslinda dan Hafiz bergerak menuju ke puncak Gunung Batu Putih manakala dia menunggu di kem.
Hafiz perlu berada di puncak bagi mendapatkan isyarat telekomunikasi untuk menghubungi pasukan penyelamat.
“Saya terlalu lemah untuk meneruskan perjalanan dan meminta Hafiz menghubungi pihak bomba. Jaslinda ikut bersama ke puncak dan Hafiz mengarahkannya supaya kekal di situ, mengeringkan pakaian basah serta tidak bergerak terutama jika berdepan simpang laluan,” katanya.
Menurut Mohd Hanafi, Hafiz berulang kali turun naik gunung bagi mendapatkan liputan telekomunikasi dan pada masa sama memeriksa keadaannya, selain beberapa pendaki lain dari kumpulan berbeza turut berhenti membantu.
Hafiz akhirnya berjaya menghubungi pihak bomba, namun faktor cuaca buruk pada Ahad menyebabkan operasi menyelamat tidak dapat dilakukan segera walaupun ambulans sudah menunggu di kaki gunung, katanya.


